14 Ogos 2026KENYATAAN MEDIA

Hubungan baik bukan petanda PKR, Bersatu jalin kerjasama

Hubungan baik bukan petanda PKR, Bersatu jalin kerjasama
PETALING JAYA – Belum ada sebarang keputusan atau perbincangan rasmi berhubung dakwaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sedang menjalin kerjasama dengan PKR untuk membentuk kerjasama politik. Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Na'im Brundage berkata, dalam politik, pertemuan, komunikasi atau hubungan baik antara individu daripada parti berlainan tidak boleh secara automatik ditafsirkan sebagai pembentukan jajaran politik baharu. Beliau berkata, sebarang kerjasama sebesar itu tentunya perlu melalui proses dan keputusan rasmi parti. "Fokus Bersatu sekarang adalah mempertahankan hak parti, memastikan suara ahli gabungan Perikatan Nasional (PN) dihormati dan menentukan hala tuju yang terbaik untuk perjuangan parti demi kepentingan rakyat," katanya kepada Utusan Malaysia. Mengulas dakwaan BERSATU mahu ROS menggantung PN, Na'im berkata itu bukan tujuan BERSATU melaporkan pelanggaran Perlembagaan PN kepada ROS. Tujuan laporan itu adalah untuk mempertahankan hak BERSATU sebagai salah sebuah parti pengasas PN. "Isunya bukan mahu melihat PN digantung, tetapi memastikan PN ditadbir berlandaskan Perlembagaan, keputusan dibuat melalui saluran yang sah dan semua parti anggota diberikan hak serta layanan yang adil." Jika ROS mengambil apa-apa tindakan terhadap PN, itu adalah keputusan ROS berdasarkan undang-undang, bukannya keputusan BERSATU. Penggantungan PN juga tidak menguntungkan BERSATU, namun parti tidak boleh berdiam diri sekiranya haknya sebagai anggota gabungan dinafikan.

Sumber: Utusan Malaysia