22 Mei 2026KENYATAAN MEDIA

Negeri terkaya di Malaysia masih tak jumpa tapak hospital, sindir pembangkang

Negeri terkaya di Malaysia masih tak jumpa tapak hospital, sindir pembangkang
Pemuda BERSATU (ARMADA) Selangor mengecam alasan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berhubung isu ketiadaan hospital kerajaan di Puchong, Petaling Jaya dan Subang. Ketuanya Na'im Brundage menyifatkan alasan bahawa kerajaan negeri masih dalam proses mencari tanah sesuai untuk membina hospital di kawasan berkepadatan tinggi itu sebagai alasan memalukan dan menghina kebijaksanaan rakyat Selangor. "Bagaimana mungkin selepas hampir lapan tahun menerajui pentadbiran negeri terkaya di Malaysia, Amirudin Shari masih gagal menyelesaikan isu asas seperti penyediaan tapak tanah bagi kemudahan kesihatan rakyat?" Beliau membandingkan dengan sektor swasta yang berjaya membina Hospital Picaso, Sunway Medical Centre Damansara dan Damansara Specialist Hospital 2 dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini. Na'im mengingatkan bahawa di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960, kerajaan Selangor mempunyai kuasa untuk mengambil alih tanah milik swasta demi kepentingan awam seperti pembinaan hospital. Kuasa itu pernah digunakan bagi projek LRT3, MRT2, ECRL serta kolam takungan tebatan banjir. "Kegagalan ini bukan berpunca daripada kekangan geografi atau ketiadaan tanah, sebaliknya berpunca daripada ketidakcekapan pentadbiran dan ketiadaan tekad politik untuk mendahulukan kebajikan kesihatan rakyat."

Sumber: Malaysiakini